MAC 2023

PETROS Akan Membuka Lebih Banyak Stesen Di Sarawak


Daro, 19 Mac - Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg berkata Kerajaan Sarawak akan memperluaskan pembinaan stesen bersepadu PETROS di seluruh Sarawak pada masa hadapan.

Beliau berkata stesen bersepadu tersebut akan diperluaskan bahagian di Pusa, Kapit, Sibu dan Miri sebagai langkah persediaan ke arah mempromosikan penggunaan kenderaan elektrik untuk kelestarian alam sekitar.

“Jadi kita guna letrik dahulu. Supaya rakyat dapat menggunakan teknologi baharu dalam kenderaan yang akan kita (dapat) hadkad pelepasan karbon dan ia lebih lestari kepada alam sekitar. Inilah satu-satu langkah kita untuk menggunakan bahan bakar yang tidak mencemar alam sekitar ke seluruh Sarawak. Sebab itu kita menubuhkan petros, di mana perkhidmatan ini dapat kita bekalkan juga di luar bandar” katanya

Beliau berkata demikian semasa pelancaran stesen minyak bersepadu PETROS di Pekan Daro hari ini.

Tambah beliau kawasan Daro dan sekitarnya akan terus membangun disebabkan oleh projek infrastruktur yang akan siap iaitu menerusi projek jalan pesisir dan juga jambatan-jambatan yang bakal siap dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Jadi, perjalanan dari Sibu ke Sarikei dan seterusnya Daro akan mengambil masa lebih kurang satu jam sahaja. Ini akan membuka kawasan tempatan yang mempunyai potensi dari sudut sektor pertanian, perkapalan dan perikanan,” katanya.

Dalam pada itu juga, Abang Johari turut memutuskan untuk membina Pejabat Daerah Daro baharu bersempena dengan ulangtahun ke-50 Daerah Daro.

Jelasnya, bangunan tersebut akan dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan termasuk perkhidmatan mesin juruwang automatik (ATM) dan juga kuarters kerajaan . 

Turut hadir dala majlis tersebut, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi RADDA Datuk Len Talif Salleh, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad, dan kenamaan yang lain.-Sarawakku

Sumber dari : Sarawakku